Petrol RON95 Atau RON97 – Mana Lebih Jimat?
Dengan harga minyak yang semakin naik sekarang, penting untuk kita faham apa beza antara minyak petrol RON95 dan RON97, mana yang lebih jimat.
Harga terkini bulan Februari 2017 untuk RON95 adalah RM2.30/liter manakala RON97 adalah RM2.60/liter. Menurut analisis, harga minyak akan semakin meningkat 2 ke 3 bulan mendatang.
Apabila harga yang semakin naik ini, muncul pelbagai petua dan tips penjimatan minyak daripada tips teknikal kepada beberapa lagi tips yang mengarut. Dalam artikel ini, Nasi Tambah tak nak mengulas mengenai tips-tips ini, tetapi lebih kepada mencari perbezaan antara minyak petrol RON95 dan RON97 kerana viral dalam media sosial, RON97 lebih jimat.
Penting untuk kita faham mana yang lebih jimat sebelum cuba kaedah lain untuk menjimatkan minyak.
Apa maksud RON?
RON adalah campuran 2 unsur asas iaitu oktanda dan pentana yang terdapat dalam minyak.
RON95 bermaksud 95% kandungannya adalah oktana dan 5% adalah pentana manakala RON97 bermaksud 97% kandungannya adalah oktana dan 3% adalah pentana.
Petrol RON95 vs RON97, Mana Lebih Jimat
Kami mendapat maklumat mengenai mana yang lebih jimat antara kedua-dua jenis minyak ini selepas ‘tertonton’ Buletin Utama TV3 selepas dah lama tak tengok Buletin Utama. hehehe
Dalam ujian tersebut mereka menggunakan 2 jenis kereta yang sama iaitu Proton Saga 1.3L CVT. Sebelum ujian dilakukan, kedua-dua kereta telah dikosongkan tangkinya. Kemudiannya diisi dengan minyak RON95 dan RON97 masing-masing. Untuk lebih adil, kesemua tayar di kedua-dua kereta dilaraskan dengan tekanan angin yang sama.
Ruang bagasi kedua-dua kereta juga dikosongkan. Mereka juga telah tetapkan berapa suhu aircond dalam kedua-dua Proton Saga tersebut.
Mereka memulakan perjalanan dengan mengisi penuh minyak petrol RON95 dan RON97 di stesen Petronas Taman Tun Dr Ismail, Damansara. Dari TTDI mereka memandu masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur untuk memberi simulasi penggunaan sebenar minyak di waktu kesesakan trafik di bandar.
Dari pusat bandar Kuala Lumpur, menuju ke Hulu Yam melalui Gombak dan kemudiannya ke Batang Kali serta Tanjung Malim tanpa ikut highway. Sepanjang perjalanan dari TTDI ke Tanjung Malim ini mereka juga menukar pemandu beberapa kali untuk memberi keadilan berkaitan corak pemanduan kedua-dua driver tersebut.
Kemudian dalam perjalanan balik dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur mereka melalui highway PLUS, mereka sekali lagi menukar pemandu beberapa kali.
Berikut adalah hasil daripada kajian mereka melalui perjalanan tersebut
Kesimpulan mudah yang dilihat daripada ujian ini adalah – petrol RON95 jimat 3 sen/km berbanding RON97.
Dari segi prestasi juga menurut mereka tidak ada banyak perbezaan. Ini amat berbeza dari pendapat sesetengah pihak yang mengatakan RON97 adalah lebih jimat dan memberi prestasi yang tinggi kepada kereta mereka berbanding RON95.
Untuk menentukan tahap penggunaan petrol semasa sesebuah kenderaan, ada banyak faktor-faktor lain yang akan mempengaruhinya, selain daripada petrol yang digunakan. Sebagai contoh, sistem enjin kenderaan, beban yang dibawa, tekanan tayar, keadaan trafik dan sebagainya. Secara umumnya, jika menyentuh tentang penjimatan kos, Nasi Tambah percaya RON95 tetap mempunyai kelebihan.
Bagi Nasi Tambah, hasil ujian ini memberi kefahaman untuk terus menggunakan petrol RON95 berbanding RON97. Ini adalah kerana saya pun bawak kereta buatan Malaysia sahaja. Mungkin tahun depan bila saya dah bawak kereta buatan luar seperti Range Rover Evoque idaman saya tu, saya akan bertukar ke RON97.
Tolong doakan yer…