Azam Baru? Biar Sikit Asal Konsisten
Apabila sebut tahun baru, mesti orang bercerita mengenai azam baru. Apabila sebut azam baru biasanya akan timbul masalah takut separuh jalan, malah ada juga sekadar meneruskan azam tahun lalu, hehehe…
Jom Nasi Tambah kongsikan beberapa langkah membuat azam baru dan konsisten dengannya.
Langkah Membuat Azam Baru Terbaik
Langkah 1: Buat Keputusan
Lawan kepada keputusan ialah alasan.
Saya nak berhenti merokok tapi….
Saya nak turunkan berat badan tapi….
Saya tak nak tinggalkan solat tapi…
semua ini adalah contoh ayat alasan yang tidak membantu untuk mencipta azam.
Sebaliknya, buatlah keputusan. Buat kata putus untuk membuat sesuatu kerana keputusan itu berasal daripada perkataan putus.
Malah dalam bahasa Inggeris, keputusan bermaksud ‘decision’ yang berasal daripada perkataan Latin: de cide yang bermaksud ‘putus’.
Dalam bahasa Arab pula, keputusan bermaksud ‘qat’an’ yang berasal daripada perkataan ‘qata’a’ iaitu putus.
Dalam erti kata lain, keputusan ialah apabila kita putuskan, kita takkan benarkan ia bersambung semula!
Jika kita putuskan untuk berhenti merokok, tiada ruang untuk merokok semula atas apa jua sebab. Jika kita putuskan untuk turunkan berat badan, tiada ruang untuk tambah berat semula atas apa jua sebab!
Langkah 2: Spesifik
Saya nak berjaya tahun depan
Saya nak banyak A dalam peperiksaan
Saya nak untuk gila dalm peperiksaan
Jika ini yang anda niatkan sebagai azam anda, percayalah azam anda akan ke laut!
Kerana azam yang anda tetapkan terlalu umum, tidak boleh diukur pencapaian malah tidak jelas apa sebenarnya nak dicapai.
Maka anda perlu spesifik.
Jika nak berjaya, berjaya yang bagaimana?
Bila?
Di mana?
Jika nak banyak A dalam peperiksaan, berapa A?
Subjek apa?
Berapa CGPA?
Jika nak untung dalam bisnes, berapa jumlah keuntungan?
Dalam tempoh berapa lama?
Dengan kaedah ini, anda lebih jelas apa yang nak dicapai dan sampai satu ketika, anda dapat menilai tahap pencapaian dan tahu apakah langkah seterusnya untuk memperbaiki mana yang kurang.
When the vision is clear, the action gets easier!
Langkah 3: Mulakan sedikit-sedikit
Nabi Muhammad SAW bersabda pentingnya buat sikit-sikit asalkan berterusan dalam hadisnya.
Daripada Aisyah rha, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu.
Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Tidak salah untuk meletakkan azam dan matlamat yang besar. Yang penting ialah cara mencapainya bukan secara drastik. Tetapi biarlah sedikit sedikit asalkan berterusan.
Itulah namanya istiqamah.
Selamat membuat keputusan, berhenti beralasan, merancang secara specifik dan bertindaklah sedikit demi sedikit tapi berterusan.
Saya percaya saya boleh melakukannya, apatah lagi anda.
Kredit: Amin Idris, Harian Metro