Tuanku Abdul Halim Tamat Tempoh Yang Di Pertuan Agong Malaysia

0

Tuanku Abdul Halim – Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah (lahir 28 November 1927) merupakan Sultan Kedah ke-27 (1958 – kini) serta Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-5 (1970 – 1975) dan ke-14 (mulai 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016).

Pertama kali dalam sejarah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14 ini ditabal buat kali kedua selepas menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 pada tahun 1970-1975.

Tuanku Abdul Halim terpilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong antara September 1965 dan September 1970. Apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, ketika berumur 43 tahun, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda yang pernah dilantik iaitu selepas Tuanku Syed Putra, Raja Perlis yang dilantik ketika berumur 40 tahun.

Baginda menyaksikan pertukaran kali pertama ketua kerajaan Malaysia iaitu apabila ayahanda saudara baginda, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberikan jawatannya kepada timbalannya Tun Abdul Razak.

Tunku Abdul Rahman merasakan beliau tidak patut berkhidmat di bawah anak saudaranya. Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, iaitu perdana menteri kedua negara.

Pada November 2006, Tuanku Abdul Halim dipilih buat kali kedua sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bermula Disember 2006 hingga Disember 2011. Beliau merupakan sultan ketiga memegang jawatan ini dua kali, selepas Tuanku Ja’afar dari Negeri Sembilan dan Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu.

Pada 15 Julai 2008 baginda menyambut Jubli Emas, iaitu ulang tahun pemerintahan baginda ke-50 di Kedah. Pada 12 Oktober 2011, Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-225 yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang telah memutuskan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah menggantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 mulai 13 Disember 2011.

Pada tanggal 13 Disember 2011, sempena Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kali ke-227, Tuanku Abdul Halim dengan rasminya diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi memerintah negara buat kali yang kedua. Baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, sekaligus menjadi sultan pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan yang tertua ditabalkan (84 tahun).

Yang di-Pertuan Agong tertua sebelum baginda ialah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari Selangor, yang ditabalkan di usia 73 tahun.Istiadat pertabalan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong dilangsungkan di Istana Negara pada 11 April 2012.

Baginda Tuanku Abdul Halim bakal kembali bersemanyam di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Seluruh rakyat Kedah amat merindui kepimpinan baginda sultan yang sememangnya berjiwa rakyat.

Baginda bakal digantikan oleh KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Ibni Sultal Ismail Petra.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!