Punca Bankrap Rakyat Malaysia
Ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak pasti atau kurang faham punca bankrap, menjadi penyebab ramai di kalangan kita ambil mudah.
Kita perlu faham punca bankrap berlaku untuk mengelakkan kita tersepit dengan masalah ini. Antara faktor penyebab berlaku bankrap ialah pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan kad kredit.
Punca Bankrap
Antara punca yang dikenal pasti sebagai punca bankrap yang utama adalah sikap kita yang ingin kelihatan mewah walaupun kita sendiri tidak mampu membayarnya.
Mengikut daripada data terkini daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan muda adalah golongan yang paling ramai bankrap.
Ramai yang baru bekerja beberapa bulan sahaja, sudah mula membeli kereta yang mahal yang diluar kemampuan mereka.
Sikap tamak dan ingin kelihatan hebat ini memerangkap mereka.
Ramai yang tak mampu menahan diri untuk kelihatan mewah yang melampau sehingga terjerat dengan pelbagai hutang jahat.
Mereka membuat terlalu banyak pinjaman seperti pinjaman peribadi dan kad kredit untuk menampung kehidupan yang kononnya mewah bagi mereka sehingga tidak memikirkan kemampuan mereka untuk membayar balik kesemua pinjaman tersebut.
Sudah lah semasa belajar mereka ini terikat dengan pinjaman PTPTN, selepas belajar pun mereka terus menambah hutang mereka dengan pelbagai jenis pinjaman.
Cara Semak Status Bankrap
Ada 2 cara untuk anda ketahui status bankrap anda:
- Semakan di cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia. Caj dikenakan RM10
- Semakan melalui portal Jabatan Insolvensi atau portal myeg.com.my. Caj dikenakan RM12
Punca Bankrap Golongan Muda
Menurut rekod Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), antara faktor utama golongan muda menjadi bankrap adalah kerana lemah dalam perancangan kewangan. Faktor ini menyumbang kepada 21.9 peratus dalam laporan yang dikeluarkan pada akhir Disember 2015.
Antara faktor penyumbang yang lain adalah kegagalan perniagaan 16.7 peratus, perubatan (13.6 peratus), kad kredit di luar kawalan (11.1 peratus) dan hilang pekerjaan (9.9 peratus).
Golongan muda terutamanya mereka yang baru tamat belajar dan baru memasukki alam pekerjaan, sudah memiliki kadar pinjaman yang tinggi, 38 peratus mempunyai pinjaman peribadi dan 47 peratus mempunyai pinjaman kad kredit.
Fakta Jabatan Insolvensi Malaysia pula menunjukkan 25,000 indiviru berumur bawah 35 tahun telah disenaraikan sebagai bankrap sejak tahun 2010. Punca utama yang dikenalpasti adalah disebabkan kad kredit dan pinjaman peribadi.
Apa yang boleh dilakukan untuk elak bankrap?
Sekiranya anda sudah terjebak dengan jumlah hutang yang banyak dan sudah tidak mampu dibayar, anda boleh segera merujuk kepada AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit)
AKPK merupakan agensi yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia untuk membantu mereka yang mempunyai masalah pengurusan kredit.
Anda boleh rujuk kepada AKPK sebelum anda diisytiharkan bankrap.
Perkhidmatan AKPK adalah percuma. Mereka akan menbantu dalam pendidikan pengurusan kewangan dengan betul.
Selain itu, AKPK juga boleh membantu berbincang dengan pihak bank peminjam untuk menstruktur semula semua pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit.
Nasihat Nasi Tambah
Kunci utama untuk atasi punca bankrap adalah pengurusan kewangan yang baik sejak mula. Sebaiknya pengurusan kewangan ini turut mendapat sokongan pasagan atau keluarga.
Setiap pinjaman yang anda lakukan, perlu bertujuan untuk produktif, contohnya anda buat pinjaman perumahan untuk membeli rumah untuk disewa dan seterusnya gunakan duit hasil sewa tersebut untuk membayar pinjaman. Ini adalah seperti, orang lain bayar pinjaman anda untuk anda.
Jangan sesekali berbelanja melebihi kemampuan kewangan anda terutamanya penggunaan kad kredit.