Sultan Muhammad ke V, yang di-Pertuan Agong ke 15

0 87

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke V (lahir 6 Oktober 1969) adalah Sultan Kelantan ke-29, yang dimasyurkan pada 13 September 2010 bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah. Sebelum ini baginda merupakan Tengku Mahkota Kelantan dan bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra, merupakan putera sulung Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Tengku Anis Binti Tengku Abdul Hamid.

Baginda mempunyai 3 orang adinda iaitu Yang Amat Mulia (Tengku Mahkota) Tengku Muhammad Faiz Petra lbni Sultan Ismail Petra, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra lbni Sultan lsmail Petra, dan Yang Amat Mulia Tengku Amalin A’ishah Putri lbni Sultan lsmail Petra.

Pada tanggal 13 Disember 2011, Sultan Muhammad ke V telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah pula dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke 14. Istiadat mengangkat sumpah jawatan dijalankan di Istana Negara Kuala Lumpur.

Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Selepas lafaz sumpah YDP, baginda akan dikenali Tuanku Muhammad V.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, Kelantan dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat).

Keperibadian Sultan Muhammad ke V

sultan muhammad ke V

Tuanku yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai “kita”.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat, berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Tuanku tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Tuanku merupakan satu-satunya sultan yang menukar perkataan Daulat Tuanku kepada “Allahu Akbar”.

‘Saya tukar Daulat Tuanku kepada Allahu Akbar supaya pelafaznya dapat pahala’.
-Sultan Muhammad V

Tuanku hanya membahasakan dirinya sebagai saya sahaja dan bukannya beta seperti sultan-sultan lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Allahu Akbar!!

You might also like More from author

Leave A Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!