Nak Berjaya Dalam Hidup, Buang 13 Perangai Buruk Ini

0 38

Kalau anda memang serius nak berjaya dalam hidup dan apa saja perkara yang dilakukan sekarang, 13 perangai buruk ini perlu dibuang terus dari bertapak dalam diri.

Semua orang memang nak berjaya dalam hidup mereka. Itu sikap biasa yang ada pada semua manusia. Yang membezakan antara anda dengan saya, juga antara kita dengan yang lain, hanyalah takrifan kejayaan sahaja.

Masing-masing ada takrifan mereka tersendiri untuk tentukan kejayaan jenis yang macam mana. Tapi secara umumnya, jalan menuju kejayaan itu biasanya adalah sama.

Biasanya orang akan tekankan untuk membina amalan baik ke dalam diri.

Tapi mungkin anda rasa agak susah nak buat macam tu.

Jika anda rasa susah nak tambah perkara baik dalam diri, anda boleh cuba cara ini.

Anda hanya perlu kekalkan saja apa yang dah ada, dan buang terus 13 perangai buruk ini satu persatu sampai habis kesemuanya.

Perangai buruk heret anda ke belakang untuk nak berjaya dalam hidup

Ramai yang memang dah ada banyak perangai baik untuk nak berjaya dalam hidup. Tapi masih juga sukar menempa kejayaan.

Puncanya berkemungkinan adalah disebabkan ada banyak perangai buruk.

Bayangkan anda pulas minyak motosikal ke depan dalam keadaan ada tali dok ikat kat belakang motosikal tu. Memang susah nak bergerakpun. Malah lebih parah, motosikal anda akan cunggit ke atas dan terbalik ke belakang timpa badan !

Itu perumpamaan gabungan perkara baik dan perkara buruk yang ada dalam diri anda. Yang satu bawa ke depan dan satu lagi dok tarik ke belakang.

Kalau sama kuat, moto kaku tak bergerak. Kalau buruk yang kuat, jatuh ke belakang timpa badan. Kalau baik lebih kuat, pergi juga kedepan tapi amat meletihkan.

Jadi bagaimana nak berjaya dalam hidup?

Nak Berjaya Dalam Hidup? Buang 13 perangai buruk ini

Oleh itu, jangan lupa untuk semak perangai buruk yang ada dalam diri jika nak berjaya dalam hidup. Buang satu persatu supaya pergerakan anda ke depan lebih mudah dan lancar.

Berikut saya kongsikan 13 perangai buruk yang perlu anda buang kalau serius nak berjaya dalam hidup anda;

1. Buang ketagihan pada media sosial

  • Seluruh dunia di negara maju hadapi masalah berat ini. Ketagihan pada media sosial. Berapa kerap anda semak email, FB, twitter, whatassp dan seumpamanya. Ini dah menjadi-jadi sekarang. Saya juga jadi macam tu sejak pakai telefon pintar ni. Dah jadi satu ketagihan sebenarnya, walaupun mungkin anda tak rasa macam tu.
  • Satu masa nanti akan ditubuhkan pula pusat pemulihan media sosial. Tambahan kepada pusat pemulihan dadah yang dah sedia ada. Mungkin ramai yang akan dihantar masuk oleh ahli keluarga mereka.
  • Sebelum jadi macam tu, cari jalan penyelesaian, sikap kebergantungan kepada media sosial ni. Latih diri dari sekarang dan pakai media sosial secara berdisiplin berdasarkan keperluan. Fokus pada hasil. Kalau tak ada hasil buat apa nak buka media sosial.

2. Buang perangai nak ambil hati semua orang

  • Strategi nak bagi semua orang suka tidak akan pernah berjaya. Anda terpaksa jadi hipokrit atau mengkarung yang sentiasa bertukar warna ikut keadaan setempat untuk buat semua orang suka.
  • Kalau nak berjaya, anda perlu terima hakikat akan ada orang yang betul-betul suka, dan akan ada sekumpulan lain pula yang meluat tak tau nak kata.
  • Terima hakikat itu dan jalan terus. Itu lumrah kehidupan.

3. Tinggal kawan yang mindanya beracun

  • Ada kawan yang kerjanya hanya nak kondem orang. Depan kita dia kondem orang lain. Banyak kemungkinan bila depan orang lain, dia akan kondem kita pula. Itu salah satu ciri orang yang punya minda beracun. Elakkan orang macam tu. Dan paling penting anda sendiri jangan dok jadi macam tu.
  • Biasanya orang yang minda beracun ni punya karisma yang menarik. Mereka memang mudah didekati dan amat pandai sesuaikan keadaan. Mereka selit racun secara sistemik tanpa disedari.
  • Orang minda beracun ni kerjanya lebih banyak kepada merungut, mengeluh, semuanya negatif, suka menghukum terus, ayat kesat, mencarut jadi mainan mulut, cepat panas baran, sentiasa berlakon jadi mangsa, terlalu banyak bercakap tapi kurang mendengar, potong ayat orang untuk sembur ayatnya yang beracun dan lain-lain lagi seumpamanya.
  • Ada ramai yang akan tak selesa dengan saranan ini. Mereka rasa tak patut pilih kawan macam tu dan mahu bersikap cool habiskan masa dengan semua jenis orang. Kalau anda serius nak berjaya, jangan ikut sikap cool macam tu.

4. Jangan cuba jadi manusia sempurna

  • Kalau nak tunggu sempurna baru nak cuba perkara baru, alamat sampai kiamat tak akan mencuba. Kalau nak jadi penembak tepat baru nak mula tembak, sampai ke mati tak akan jadi, menembakpun tak akan reti.
  • Cara terbaik untuk jadi manusia sempurna adalah dengan tak buat apa-apa. Jadi tak akan berlaku satupun kesalahan. Kalau anda ingat boleh bangga hidup tanpa buat salah, teruskan dengan dunia tak bergerak anda itu. Jangan baca blog ini…
  • Anda hanya perlu sararkan pada kesempurnaan sahaja dan mula buat yang terbaik. Bila hasilnya tak sempurna tak payah nak berdrama sangat. Buat analisa, cari apa yang boleh dibaiki dan cuba lagi.

5. Buang kepercayaan adanya formula ajaib

  • Sekarang ada banyak iklan hebat yang memainkan emosi lemah manusia. Mereka paparkan gambaran sebelum yang buruk dan dikepilkan sebelahnya gambaran selepas yang mengkagumkan.
  • Sebelum… hudoh, selepas… ala ala Neelofa ! dan andapun percaya krim ajaib mujarab 7 telaga gunung, peram 7 purnama, laungan azan 7 muazzin, zikir 7 guru mursyid dan lain-lain lagi keajaiban. Beli dan sapu muka, nak terus jadi Neelofa.
  • Mohon maaf ! buang perangai macam tu. Jangan percaya pada adanya formula ajaib, peluru emas, dragon ball atau entah apa lagi seumpamanya.
  • Semua kejayaan adalah gabungan ribuan kalau tak jutaan perkara kecil sedikit demi sedikit. Lihat pada artikel saya yang sebelum ini pasal Kesan Berganda. Semua bermula dari kesukaran sehinggalah ke satu titik tertentu sebelum melonjak naik ke atas.
  • Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian … anda tahu sambung peribahasa ini kan !

6. Buang perangai cari alasan

  • Ramai orang suka cari alasan dari kecil sampai besar. Kecekapan cari alasan dah sebati dan keluar terpancul dari mulut tanpa perlu gunakan akal lagi. Sebab itu perangai buruk ini amat susah nak buang.
  • Tapi nak buat macam mana, kalau serius nak berjaya, buang sikap cari alasan ini. Latih diri cari jalan. Tanya macam mana nak buat dan elak cari sebab kenapa tak perlu buat.
  • Hendak seribu daya… sambung bang !

7. Buang perangai fikir singkat

  • Orang yang berfikiran singkat akan jual tanah untuk dapat duit. Orang yang berfikiran jauh tak akan jual tanah tu. Dia akan fikirkan bagaimana nak tingkatkan nilai tanah yang ada.
  • Baru-baru ini kawan saya yang kaki beli tanah beritahu. Sepanjang dia bergiat beli tanah dari dulu sampai sekarang, golongan yang paling kerap dia jumpa jual tanah, adalah orang Melayu. Saya tak perasan perkara ini sebab bukan kaki beli tanah macam dia. Tapi itu membuatkan saya terfikir sejenak apa yang tak kena.
  • Fikir panjang jauh jauh dalam apa saja usaha. Jangan asyik nak kaya cepat dan jangan nak buat untung cepat. Semakin jauh orang berpandangan, semakin besar peranannya dalam kehidupan.
  • Hidup hanya sekali, tapi kalau anda jalani kehidupan dengan cara yang betul, berbaloi walaupun ianya hanya sekali…

8. Buang gaya hidup buruk yang tak sihat

  • Jaga badan anda baik-baik. Jangan biarkan penyakit berkumpul padanya. Lemak terlalu banyak tak ada orang nak belipun.
  • Satu-satunya tempat paling penting di mana anda jalani kehidupan adalah di badan anda sendiri. Jadi tolonglah jaga sebaik mungkin. Lepas itu baru fikirkan nak jaga alam sekitar dan orang lain pula.
  • Cuba sedaya upaya untuk hidup secara sihat. Bersenam, jaga makan dan jaga tidur. Bukan banyakpun, 3 benda saja pun…
  • Kalau tak boleh 100% hidup sihat, jangan pula 100% hidup tak sihat.

9. Buang sikap buat sasaran yang kecil

  • Masa mula berniaga dulu saya jenis selesa dengan sasaran yang kecil. Kononnya tak suka buat orang lain rasa tak selesa kalau saya bercita-cita besar. Tapi saya tersedar itu hanya mainan perasaan yang takut punya impian besar.
  • Lepas itu saya mula ubah, saya mula ulang sebut ‘world class’. Nak latih minda punya impian yang besar. Walaupun masih tak jadi lagi world class sampai sekarang, tapi impak kepada sasaran yang besar itu amat hebat.
  • Oleh itu, impikan yang besar-besar dan mulakan dengan yang kecil-kecil.
  • Jangan dari awal impianpun kecil, anda akan sukar bergerak naik. Akan jadi ala kadar hidup segan mati tak mahu. Tak akan ada orang yang jadi tak selesa bila anda punya impian besar asalkan ianya adalah realistik.
  • Hentikan terus nak main kecil-kecil saja. Jangan hanya buat team bola sekadar nak masuk liga Kampung Naka, Kedah saja, tanam impian nak masuk liga Nasional terus, apa salahnya ?

10. Buang perangai berfikiran tertutup

  • Orang yang berfikiran tertutup percaya bakat dan pengetahuannya dah tepu dan akan kekal begitu. Itu satu tanggapan yang amat tersasar dari sikap orang yang mahu berjaya.
  • Apa saja yang anda nak jadi, apa saja kejayaan besar yang anda mampu bayangkan, semuanya adalah mungkin belaka. Tak kisah apapun sejarah anda di belakang hari yang lalu.
  • Belajar perkara baru, belajar imu dan kemahiran baru, buka minda, ubah perspektif anda, dan cabar kepercayaan yang ada dalam diri sendiri yang terbantut tu, cabar apa saja cakap orang yang membantutkan kejayaan anda.

11. Buang perangai nak buat banyak benda sekali gus

  • Orang akan cuba yakinkan anda untuk buat banyak perkara sekali gus. Orang itu biasanya nak pergunakan anda selama mungkin. Orang yang asyik berhenti baling batu setiap kali ada anjing menyalak tak akan sampai ke destinasinya.
  • Bila anda buat banyak perkara sekali gus, anda tak akan jadi cekap dalam apa urusanpun. Itulah matlamat utama orang yang tak mahu lihat anda meningkat maju.
  • Bila anda ikut tanpa sedar dan percaya, buat banyak benda sekali gus itu adalah satu kehebatan, anda akan buang masa dan tertipu dengan perkara yang terbukti tidak betul.
  • Kalau nak jadi cikgu, jadilah cikgu betul-betul, jangan sekejap ahli politik, sekejap ustaz, sekejap bomoh, sekejap, aktivis, sekejap petani, sekejap usahawan, kejap itu dan ini. Sedar-sedar dah nazak atas katil orang dok ajar mengucap. Tapi kalau anda rasa itu tujuan anda hidup, jadi macam-macam yang tak berapa pandai, teruskanlah.

12. Buang perangai nak kawal semua benda

  • Anda mesti tahu ada perkara yang tak boleh dikawal dan ada perkara yang anda boleh kawal. Jadi jangan nak buang masa cuba kawal semua perkara, tak akan bolehpun.
  • Satu-satunya perkara yang anda boleh kawal adalah persepsi anda terhadap apa saja yang berlaku di sekeliling anda. Fokus untuk kawal apa yang anda fikirkan dan bukan nak ubah keadaan yang sedang berlaku disekeliling, yang diluar kawalan.

13. Buang sikap angguk pada semua perkara

  • Ada perkara yang anda boleh angguk setuju dan ikut. Ada perkara yang anda perlu tegas katakan ‘tidak !’ dan tak payah nak ikut.
  • Belajar bezakan antara dua perkara tersebut dan anda akan lebih fokus dan terurus.
  • Yang penting dan yang perlu anda buat dan ikut adalah apa saja perkara yang boleh membantu anda mencapai sasaran hidup yang telah ditetapkan. Selain dari itu, just say ‘NO’.

Ada lagi yang saya sendiri masih tidak dapat buang dalam 13 perangai buruk kat atas tu. Saya masih lagi berusaha untuk membuangnya sebaik mungkin untuk nak berjaya dalam hidup.

Moga sama-samalah kita amalkannya.

Credit: Hidup Ringkas

You might also like More from author

Leave A Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!